Wednesday, April 7, 2010

Menghargai untuk rasa dihargai

Sebagai manusia kita pasti mengharapkan penghargaan dalam hidup. Kita mengharapkan setiap apa yang kita buat dihargai oleh orang lain. Ia tidaklah salah kerana penghargaan bukan sekadar satu ganjaran, malah menjadi satu motivasi diri. Apabila kita rasa dihargai, kita akan lebih bersemangat dalam menyumbangkan usaha kita, malah mungkin lebih ikhlas dalam melakukan sesuatu.

Tapi, apa perlu kita buat kalau kita tidak rasa dihargai???

Ada baiknya jika kita memandang dari perspektif yang positif. Mungkin rasa tidak dihargai itu sekadar rasa yang lahir dari pemikiran yang negatif. Mungkin juga sebenarnya kita dihargai dengan cara yang tidak sama seperti yang kita fikirkan. Kita memandang dari satu aspek, sedangkan penghargaan itu sendiri boleh disampaikan dengan pelbagai cara yang kadangkala kita sendiri tidak menyedarinya.

Apa yang penting, untuk merasai diri dihargai, kita perlu terlebih dahulu belajar bagaimana untuk menghargai orang lain. Bagaimana untuk menunjukkan penghargaan kita, untuk menyatakan bahawa kita amat menghargai sesuatu perkara itu. Barulah kita akan tahu bahawa penghargaan itu boleh disampaikan dengan pelbagai cara. Dan barulah kita sendiri boleh mengetahui bagaimana rasanya apabila diri dihargai.

Agar itu menjadi satu motivasi dalam hidup yang kita jalani sehari-hari...

Saturday, December 12, 2009

Memberi Setulus Hati


Hidup lebih bermakna jika kita tahu erti hidup pada memberi. Memberi tanpa syarat, tanpa mengharap pada sebuah balasan. Sifir hidup ini mudah, apa yang kita beri, itu yang akan kita dapat kembali. Seperti kata pepatah Inggeris "what you give, you get back".

Pemberian walaupun kecil nilainya, tapi amat bermakna jika diberi setulus hati. Saling memberi untuk saling mengasihi. Berilah walau sekadar sebuah senyuman kerana ia menjentik rasa gembira di hati insan. Berilah walau sekadar sepotong doa kerana ia tanda ketulusan hati pada sebuah kasih sayang.

Kasih yang Bermakna

Kasih sayang adalah suatu rasa yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata; tapi dapat diselami dengan ketulusan hati.

Melihat Kehidupan Dari Perspektif Berbeza


Hidup adalah untuk mencapai sebuah kebahagiaan. Tanpa rasa bahagia, hidup tiada maknanya. Kehidupan yang bahagia, penuh ketenangan dan kegembiraan perlu dibina dan diusahakan. Ia menjadi sebab mengapa kita perlu melihat kehidupan ini daripada perspektif yang berbeza.

Hidup menjadi indah jika kita berjaya melihat setiap hikmah di sebalik peristiwa. Menerima ketentuan dengan redha, dan melihat kehidupan dari perspektif yang positif. Melihat dengan hati yang penuh syukur kepada Allah, betapa kita insan bertuah yang dianugerahkan sebuah kehidupan.

Tuesday, November 11, 2008

Pengalaman Hidup..


Perjalanan hidup ini sarat dengan pengalaman. Setiap detik yang berlalu pasti akan meninggalkan kenangan dalam memori ingatan.

Kita tentunya pernah melalui saat suka, gembira dan bahagia, begitu juga pernah merasai detik-detik duka dan kecewa. Sememangnya semua ini merupakan rencah kehidupan yang menyimpan nostalgia yang tersendiri.

Hidup yang terlalu lurus dan tidak mengalami perubahan pasti akan mendatangkan kebosanan. Kerana itu, setiap detik hidup yang dilalui dengan seribu kemanisan, diuji dengan sedikit kepahitan, pasti memberi kesan terhadap diri kita, meningkatkan kematangan dan pemikiran, membentuk personaliti dan jatidiri yang tersendiri.

Hidup adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya buat kita. Kehidupan yang singkat ini seharusnya dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan bukan kedukaan dan airmata. Hiduplah dengan menyedari kedudukan diri kita sebagai hamba yang mempunyai tanggungjawab terhadap Pencipta.

Hidup ini penuh dengan pengalaman dan kenangan. Pengalaman kadang-kadang seronok dikenang bila kita semakin matang menghadapi kehidupan.

Saturday, November 1, 2008

Hikmah Sebalik Ujian

Mengharungi sebuah kehidupan, pasti tidak dapat lari dari ujian dan dugaan. Terasa diri diuji, pasti mendatangkan keperitan, namun hikmah tersembunyi tiada siapa dapat menduga kemanisannya.

Bersabarlah menghadapi ujian hidup, kerana ia sekadar menilai sebuah keimanan dan ketaqwaan. Ujian dan dugaan yang mengintai tabir diri kadangkala lebih mematangkan fikiran dan memberi kesediaan hati untuk menempuh kehidupan mendatang.

Terasa lemahnya diri kala diuji, pasti akan lebih mendekatkan kita pada Pencipta. Rupa-rupanya pergantungan hidup kita hanyalah kepada Allah, tiada lain selain Dia yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.


Pohonlah kebaikan hanya dari-Nya, letakkanlah kecintaan hanya kepada-Nya. Hamparkanlah sepenuh harapan hanya kepada Allah, mohon diberi kekuatan iman untuk meniti sebuah kehidupan sehingga ke penghujung, saat kita akan dikembalikan kepada-Nya..

Thursday, October 30, 2008

Anugerah Terindah DariNya


Indahnya hidup andai diri sentiasa terasa disayangi.. Hidup akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita dapat menggunakan kesempatan yang singkat ini untuk membina landasan kasih sayang sesama insan..

Saya masih ingat pesan salah seorang pensyarah saya ketika masih menuntut di universiti dahulu; bahawa dalam hidup ini kita akan menemui sekian banyak insan yang bergelar kawan, tetapi semuanya hanya akan kekal sebagai kawan. Bagaimana kita katakan sedemikian? Kerana apabila masa berlalu dan kita mula terpisah, tanpa disedari hubungan kita dan kawan-kawan ini akan turut mengalami perubahan. Mungkin semakin jauh, mungkin juga kita terus dilupakan selamanya..

Seorang kawan belum tentu boleh dikatakan sebagai seorang sahabat, kerana sahabat itu adalah seseorang yang akan terus bersama kita, biar masa dan keadaan berubah, kasihnya tetap seperti dulu. Dia akan tetap menjadi sahabat, teman dan kawan yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan di saat kita memerlukan. Dia akan sentiasa ada di samping kita, menghulurkan bantuan tanpa dipinta. Dia adalah seorang insan yang dianugerahkan Allah, amat memahami dan memiliki keserasian yang amat kuat dengan diri kita. Kasihnya tidak mengharapkan balasan tetapi lahir dari sebuah keikhlasan. Dia tidak akan pernah sanggup melukai hati kita, juga tidak akan bertindak mengambil kesempatan. Dia tidak akan membiarkan kita terus melakukan kesilapan sebaliknya akan sentiasa mengingatkan dan memberi teguran tanpa pernah melukai hati kita. Dia akan sentiasa bergembira dengan kejayaan kita, dan tatkala kita bersedih, dia turut bersimpati, menangis di dalam hati. Tanpa kita ketahui, rupa-rupanya dialah sahabat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup kita di dunia dan di akhirat.

Mencari seorang sahabat umpama mencari permata di celahan kaca. Kilauannya sama, namun nilainya berbeza. Mungkin sukar untuk dicari, namun jika ditemui pasti mendatangkan bahagia. Jika kita pernah mengimpikan untuk memiliki sahabat seperti ini, jadikan diri kita seorang sahabat terlebih dahulu, pasti kita akan menemui seseorang yang dapat menjadi sahabat pula kepada kita..

Dan tatkala sahabat ini hadir di depan mata, hargailah dirinya kerana dia tiada duanya; anugerah terindah dari-Nya dalam hidup kita..