Tuesday, November 11, 2008

Pengalaman Hidup..


Perjalanan hidup ini sarat dengan pengalaman. Setiap detik yang berlalu pasti akan meninggalkan kenangan dalam memori ingatan.

Kita tentunya pernah melalui saat suka, gembira dan bahagia, begitu juga pernah merasai detik-detik duka dan kecewa. Sememangnya semua ini merupakan rencah kehidupan yang menyimpan nostalgia yang tersendiri.

Hidup yang terlalu lurus dan tidak mengalami perubahan pasti akan mendatangkan kebosanan. Kerana itu, setiap detik hidup yang dilalui dengan seribu kemanisan, diuji dengan sedikit kepahitan, pasti memberi kesan terhadap diri kita, meningkatkan kematangan dan pemikiran, membentuk personaliti dan jatidiri yang tersendiri.

Hidup adalah anugerah Allah yang tidak ternilai harganya buat kita. Kehidupan yang singkat ini seharusnya dipenuhi dengan kegembiraan dan kebahagiaan bukan kedukaan dan airmata. Hiduplah dengan menyedari kedudukan diri kita sebagai hamba yang mempunyai tanggungjawab terhadap Pencipta.

Hidup ini penuh dengan pengalaman dan kenangan. Pengalaman kadang-kadang seronok dikenang bila kita semakin matang menghadapi kehidupan.

Saturday, November 1, 2008

Hikmah Sebalik Ujian

Mengharungi sebuah kehidupan, pasti tidak dapat lari dari ujian dan dugaan. Terasa diri diuji, pasti mendatangkan keperitan, namun hikmah tersembunyi tiada siapa dapat menduga kemanisannya.

Bersabarlah menghadapi ujian hidup, kerana ia sekadar menilai sebuah keimanan dan ketaqwaan. Ujian dan dugaan yang mengintai tabir diri kadangkala lebih mematangkan fikiran dan memberi kesediaan hati untuk menempuh kehidupan mendatang.

Terasa lemahnya diri kala diuji, pasti akan lebih mendekatkan kita pada Pencipta. Rupa-rupanya pergantungan hidup kita hanyalah kepada Allah, tiada lain selain Dia yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.


Pohonlah kebaikan hanya dari-Nya, letakkanlah kecintaan hanya kepada-Nya. Hamparkanlah sepenuh harapan hanya kepada Allah, mohon diberi kekuatan iman untuk meniti sebuah kehidupan sehingga ke penghujung, saat kita akan dikembalikan kepada-Nya..

Thursday, October 30, 2008

Anugerah Terindah DariNya


Indahnya hidup andai diri sentiasa terasa disayangi.. Hidup akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita dapat menggunakan kesempatan yang singkat ini untuk membina landasan kasih sayang sesama insan..

Saya masih ingat pesan salah seorang pensyarah saya ketika masih menuntut di universiti dahulu; bahawa dalam hidup ini kita akan menemui sekian banyak insan yang bergelar kawan, tetapi semuanya hanya akan kekal sebagai kawan. Bagaimana kita katakan sedemikian? Kerana apabila masa berlalu dan kita mula terpisah, tanpa disedari hubungan kita dan kawan-kawan ini akan turut mengalami perubahan. Mungkin semakin jauh, mungkin juga kita terus dilupakan selamanya..

Seorang kawan belum tentu boleh dikatakan sebagai seorang sahabat, kerana sahabat itu adalah seseorang yang akan terus bersama kita, biar masa dan keadaan berubah, kasihnya tetap seperti dulu. Dia akan tetap menjadi sahabat, teman dan kawan yang sentiasa memberi dorongan dan sokongan di saat kita memerlukan. Dia akan sentiasa ada di samping kita, menghulurkan bantuan tanpa dipinta. Dia adalah seorang insan yang dianugerahkan Allah, amat memahami dan memiliki keserasian yang amat kuat dengan diri kita. Kasihnya tidak mengharapkan balasan tetapi lahir dari sebuah keikhlasan. Dia tidak akan pernah sanggup melukai hati kita, juga tidak akan bertindak mengambil kesempatan. Dia tidak akan membiarkan kita terus melakukan kesilapan sebaliknya akan sentiasa mengingatkan dan memberi teguran tanpa pernah melukai hati kita. Dia akan sentiasa bergembira dengan kejayaan kita, dan tatkala kita bersedih, dia turut bersimpati, menangis di dalam hati. Tanpa kita ketahui, rupa-rupanya dialah sahabat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup kita di dunia dan di akhirat.

Mencari seorang sahabat umpama mencari permata di celahan kaca. Kilauannya sama, namun nilainya berbeza. Mungkin sukar untuk dicari, namun jika ditemui pasti mendatangkan bahagia. Jika kita pernah mengimpikan untuk memiliki sahabat seperti ini, jadikan diri kita seorang sahabat terlebih dahulu, pasti kita akan menemui seseorang yang dapat menjadi sahabat pula kepada kita..

Dan tatkala sahabat ini hadir di depan mata, hargailah dirinya kerana dia tiada duanya; anugerah terindah dari-Nya dalam hidup kita..

Sunday, July 13, 2008

Berani Berubah untuk Mencipta Kecemerlangan Hidup..


Pernah tak suatu ketika kita terpaksa menghadapi satu keadaan baru, yang kita rasa tak suka, kita rasa tak bersedia, kita rasa masih mahu kekal dalam keadaan lama..

Pernah tak kita rasa sedih, rasa bimbang, rasa kecewa kerana terpaksa menghadapi keadaan sedemikian rupa?

Pernah tak kita rasa hilang semangat, hilang motivasi, semata-mata kerana masih belum mencapai apa yang kita cita-citakan selama ini, sebab segala yang berlaku tidak mengikut perancangan kita???

Hidup ini penuh dengan kejutan. Kadang-kadang kita terpaksa menghadapi keadaan yang tidak disangka-sangka, dalam erti kata lain yang kita tak suka, yang memerlukan banyak perubahan dalam hidup kita..

Walaupun kita menerimanya dengan hati separuh rela, hilang semangat dan motivasi, kita terpaksa meneruskan hidup ini dengan apa adanya.. memang kita tidak pernah tahu akan apa yang berlaku pada masa depan..

Apabila masa berlalu, barulah kita sedar, rupa-rupanya di situlah bermulanya kebahagiaan hidup kita.. Baru kita tahu bahawa perubahan yang terpaksa kita hadapi itu, bukanlah suatu yang membawa derita, sebaliknya lebih banyak keindahan yang dapat kita kecapi melaluinya..

Saya sendiri pernah terpaksa menghadapi keadaan ini. Terpaksa berhadapan dengan sesuatu yang baru, yang saya rasakan begitu asing sekali. Saya terpaksa meninggalkan keadaan lama yang selama ini saya anggap amat menggembirakan saya. Saya terpaksa belajar pelbagai perkara baru, saya terpaksa mengenali orang-orang baru, dan saya melakukan semuanya dengan keadaan sedih dan masih mengharapkan untuk kembali kepada keadaan terdahulu.

Tapi rupa-rupanya perancangan Allah itu sentiasa benar. Allah tidak akan memberi kita apa yang kita mahu, tapi apa yang kita perlu dalam menghadapi hidup ini. Ini saya sedari apabila masa berlalu, dan saya mula merasa selesa dengan keadaan baru ini. Rupa-rupanya ia tidaklah seburuk yang disangka, dan rupa-rupanya di sinilah segala rasa gembira dan bahagia bermula..

Saya mendapat pelbagai ilmu dan pengalaman baru, yang amat berguna kepada saya. Saya juga menemui kawan baik yang selama ini tidak pernah saya selami hatinya, yang saya tidak sangka sama sekali akan menemui keserasian dengannya. Inilah sahabat yang sangat saya hargai kehadirannya dalam hidup saya. Akhirnya semua ini telah membangkitkan motivasi dan semangat saya, bagi menghasilkan sesuatu yang baru dan mengecapi lebih banyak kejayaan dan kecemerlangan dalam hidup..

Pesanan saya,
Kita mesti berani menerima dan membuat perubahan dalam hidup. Tidak selama-lamanya kita hanya di takuk lama. Kita mesti berani melangkah ke hadapan. Kerana detik-detik yang berlalu tidak memungkinkan kita kembali ke masa silam, sebaliknya memberi peluang kita menentukan masa depan..

Saturday, July 12, 2008

Tentang Hidup...



Meniti Sebuah Kehidupan,
Bagaikan mengharungi sebuah pelayaran,
Kadang dilambung Ombak,
Kadang tenang mendamaikan,
menuju ke satu destinasi yang entah bila akan ketemu..

Bagai meniti sebuah jambatan yang panjang,
Menuju ke suatu arah,
yang akhirnya akan menemukan kita dengan Pencipta

Bagai suatu perjalanan yang jauh,
Menempuh pelbagai keajaiban,
Dihiasi pelbagai kenangan,
Yang terasa indah dalam kehidupan..

Hidup Adalah Suatu Perjalanan Waktu..